top of page

Kes Zara: Lelaki Manipulasi Fakta Dakwa Sebagai Pembunuhan Terancang Ditahan

  • nabalunews
  • Aug 19, 2025
  • 2 min read

19 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memuat naik video di akaun TikTok @berjuanguntukzara dengan memanipulasi fakta berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.


Menerusi video yang dimuat naik berkenaan, lelaki berusia 51 tahun itu menyifatkan kematian pelajar tingkatan satu terbabit sebagai pembunuhan terancang.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, video berdurasi dua minit enam saat itu dimuat naik pada 15 Ogos lalu dengan tajuk ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’ serta boleh diakses melalui pautan tertentu.


“Semakan awal mendapati kandungan video berkenaan tidak benar kerana menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai pembunuhan terancang.


“Ia jelas boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Kumar berkata, suspek berjaya ditahan pada jam 10.20 malam, 18 Ogos, Isnin lalu dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video berkenaan turut dirampasz


“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Ogos 2025.


“Siasatan berhubung penularan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.


Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Kumar berkata, Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu sudah memuktamadkan keputusan untuk mengadakan inkues berhubung kematian Zara Qairina.


Justeru, katanya PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebabkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau mengganggu prosiding mahkamah.


“Masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diakses di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.


“PDRM menyeru supaya semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page