Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Viviantie Sarjuni, Dinobatkan Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 Oleh Schwab Foundation
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

21 Januari 2026
CYBERJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Viviantie Sarjuni dinobatkan Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 untuk Keusahawanan Sosial oleh Schwab Foundation, dengan kerjasama World Economic Forum, WEF.
Anugerah itu disampaikan bersempena dengan Mesyuarat Tahunan World Economic Forum yang berlangsung di Davos, Switzerland.
Anugerah itu mengiktiraf individu yang membuat perubahan luar biasa dalam sektor awam termasuk penggubal undang-undang, pembuat dasar, ketua agensi kerajaan serta pemimpin organisasi antarabangsa yang memanfaatkan inovasi sosial bagi menghasilkan impak transformatif.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan,m hari ini berkata, Viviantie dipilih atas kepimpinan berwawasan beliau dalam menyokong keusahawanan, perusahaan sosial dan pembangunan ekonomi mampan di Malaysia.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), bertanggungjawab memperkukuh ekosistem teknologi, inovasi dan ekonomi kreatif Sabah, dengan matlamat yang lebih luas untuk mengurangkan jurang wilayah serta menyumbang kepada landskap ekonomi negara yang lebih adil.
Sejak tahun 1998, Schwab Foundation telah menyokong lebih 500 inovator sosial berimpak tinggi dari seluruh dunia merangkumi lebih 190 buah negara. Anugerah Public Social Innovator 2026 julung kalinya mengiktiraf pemimpin sektor awam yang mencipta pendekatan inovatif bagi menangani cabaran sosial, di samping memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Menurut Viviantie yang menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 dari Schwab Foundation merupakan satu penghormatan besar.
Katanya, ia bukan sahaja kepada beliau secara peribadi, tetapi juga kepada usaha yang telah dilaksanakan oleh INSKEN dalam menyokong perusahaan mikro, luar bandar dan sosial.
“Sebagai peneraju agensi kerajaan, saya melihat pengiktirafan ini sebagai satu tanggungjawab untuk bertindak sebagai penghubung dalam menyatukan komuniti, sektor swasta, akademia dan kerajaan bagi mewujudkan impak yang bermakna dan inklusif.
“Anugerah ini membuka akses kepada rangkaian serta pandangan global, yang boleh disesuaikan oleh INSKEN di peringkat tempatan bagi memperkukuh inovasi sosial, membentuk dasar, serta membantu usahawan Malaysia berkembang secara mampan melalui kerjasama semua pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, Viviantie turut dijemput menghadiri Mesyuarat Tahunan World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland, dari 16 hingga 25 Januari 2026 bagi menerima anugerah tersebut, termasuk menyertai sesi dialog, bengkel dan penglibatan pelbagai hala bersama pemimpin global dalam bidang keusahawanan sosial serta pembangunan ekonomi mampan.
Sebagai penerima anugerah, beliau akan menyertai komuniti global Schwab Foundation. Ahli komuniti ini diintegrasikan ke dalam mesyuarat dan inisiatif World Economic Forum, serta terlibat secara aktif dalam pertukaran sejawat dengan pemimpin perubahan sosial dan alam sekitar, dan berinteraksi dengan pemimpin tertinggi daripada sektor perniagaan, kerajaan, komuniti awam serta media untuk tempoh tiga tahun.
Peluang global ini akan membolehkan INSKEN membawa pulang pandangan antarabangsa dan amalan terbaik ke Malaysia sekali gus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, luar bandar dan sosial, di samping memupuk kerjasama rentas sempadan antara sektor awam, swasta dan akademik.


















Comments