top of page
  • Wartawan Nabalu News

Keunikan sambutan Tahun Baru Cina masyarakat Sino Kadazan

Ewon bergambar bersama sebahagian ahli Persatuan Fat Chun Kota Kinabalu.

25 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Hidangan makanan tradisi etnik Kadazan Dusun seperti bambangan, tuhau, losun dan linopot antara keunikan yang menyerikan lagi sambutan Tahun Baru Cina dikalangan masyarakat Sino Kadazan di Penampang.


Bukan itu sahaja tetapi kumpulan penari tarian singa yang memeriahkan sambutan itu dianggotai kebanyakannya remaja dan belia etnik Dusun dan Kadazan.


Seorang penduduk Kg.Sugud Jeffrin Likius berkata, tahun ini beliau mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina di rumah mentuanya di Kg Mahansung Sugud.


“Setiap tahun kami menyambut Tahun Baru Cina, Krismas dan Kaamatan. Sambutan CNY tahun ini amat istimewa kerana Datuk Ewon Benedick, seorang pemimpin yang kami kagumi dan hormati sudi berkunjung ke rumah kami,” katanya.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meneruskan program turun padang bertemu rakyat akar umbi sempena Tahun Baru Cina dengan mengunjungi rumah-rumah terbuka di beberapa kampung di sini.


Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan dari Persatuan Tarian Singa Fatt Chun kota kinabalu.


Tarian singa dianggap sebagai antara pelengkap sambutan Tahun Baharu Cina kerana kaum Tionghoa percaya tarian itu membawa tuah sekiranya persembahan itu diadakan di kediaman mereka.


Sementara itu Presiden Persatuan Tarian Singa Fatt Chun kota kinabalu Macson Enrico Eastermon berkata, kumpulan itu kebanyakannya dianggotai remaja dan belia etnik Kadazan, Dusun, Sino Kadazan dan Cina.


Beliau berkata, minatnya terhadap kesenian dan kebudayaan kaum Cina menjadi pendorongnya untuk mempelajari tarian singa dan seterusnya menubuhkan persatuan itu tiga tahun lalu.


“Kebanyakan ahli kumpulan kami dari Ranau, Penampang, Tambunan dan Kota Kinabalu berusia antara 8 hingga 38 tahun,” katanya dan menambah mereka memulakan latihan sejak beberapa bulan lalu.

Ewon bergambar bersama ahli keluarga Jeffrin.

Macson turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon kerana sebelum ini memberikan sumbangan kepada persatuan itu.


“Kami menerima banyak jemputan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina. Sasaran kami ialah mengumpul dana persatuan bagi membolehkan kami memiliki dewan sendiri untuk latihan di Kg.Kolopis,” katanya.


Selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe, di Dewan SM Tinggi Kota Kinabalu, Ewon meneruskan program di Kg.Mahansung Sugud dan Kg.Kolopis.

Comments


bottom of page