Klinik Kesihatan Sepulut akan dinaiktaraf-James
- nabalunews
- Aug 18, 2025
- 1 min read
Updated: Aug 19, 2025

18 Ogos 2025
NABAWAN: Status Klinik Kesihatan (KK) Sepulut kini masuk dalam Projek Naiktaraf Roboh dan Bina Bangunan Baru dengan kos RM1juta.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, pembinaannya di atas tapak klinik sedia ada di Kampung Sapulut.
Katanya, projek itu dalam proses perolehan dan dijangka akan bermula pada bulan September 2025 dan siap pada bulan April 2026.
"Sebelum ini KK Sapulut telah pindah operasi ke Dewan Kampung Salarom Taka sejak bulan September 2020 disebabkan bangunan klinik tidak selamat kerana mengalami pergerakan tanah.
“Pada tahun tersebut, perkhidmatan terbahagi di Kampung Salarom Taka dan juga di Dewan Kampung Sinsingon" katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan BNCOM Bahagian Pensiangan Md Saidi Ahmad Adini yang mengatakan kegagalan James dan ADUN Nabawan berkaitan Klinik Kesihatan Sepulut masih bergantung fasiliti sementara.
Md Saidi mendakwa walaupun James mengumumkan menaiktaraf lebih 100 klinik daif di Sabah menerima hampir RM44 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, namun Klinik Kesihatan Sepulut tetap terabai.
James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah menjelaskan Klinik KK Sepulut telah mendapat kelulusan tapak baru seluas 19 ekar di Kampung Sapulut dan cadangan pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Jenis 5 dan kuarters telah dimasukkan dalam Permohonan Rancangan Malaysia ke-13, Rolling Plan 1.
Pada masa sama beliau meminta penduduk di sekitar Sepulut bersabar dan menunggu projek naiktaraf yang memberi keselesaan kepada pesakit sementara menunggu pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Jenis 5 dan kuarters.















Comments