Kluster baharu libatkan pelajar asrama SMK Kundasang

22 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Bypass Kologon – Ranau, merupakan kluster jenis institusi pendidikan yang menular dalam kalangan pelajar asrama di SMK Kundasang, Ranau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan perempuan, 16, pelajar Tingkatan 4 di SMK Kundasang yang bergejala sejak 17 Januari 2022, kemudian menjalan ujian saringan kendiri pada tarikh sama.
“Sebaik didapati positif Covid-19, kes indeks memaklumkan kepada pihak sekolah dan terus dikuarantin, sebelum dibawa ke klinik pada 19 Januari 2022 bagi melakukan saringan ulangan pengesahan dan disahkan positif RT PCR.
“Saringan terhadap 70 kontak berjaya mengesan enam lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak tujuh kes.
“Semua kes dalam kategori ringan (1 dan 2) dan telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengenai jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini, sebanyak 218 kes meningkat sebanyak 42 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 245,473 kes.
Katanya satu kes kematian dilaporkan hari ini di Papar.
“Sembilan daerah mencatatkan kes dua angka hari ini, antaranya ialah Tuaran 37 kes (+22), Kota Kinabalu 34 kes (-7), Sandakan 21 kes (+9), Penampang 19 kes (tidak berubah) dan Putatan 17 kes (+13).
“Sejumlah 12 daerah lagi mencatatkan kes satu angka dan enam daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya.
Comments