top of page

KM: Pencapaian Pelan Hala Tuju SMJ memberangsangkan

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Hajiji melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour Resort pada Jumaat.Resort, Kota Kinabalu hari ini.
Hajiji melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour Resort pada Jumaat.Resort, Kota Kinabalu hari ini.

1 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Pencapaian Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 setakat Mei 2025 menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan purata pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.


Ketua Menteri,Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara sektor yang terus menjadi keutamaan adalah pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.


“Pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan, termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini hari ini.


Hajji berkata, perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini adalah kunci utama kepada kekuatan dan kemakmuran Sabah yang berterusan.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.


“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah. Ia bukan kelemahan, sebaliknya keunikan yang harus kita banggakan dan pelihara,” katanya.


Menurutnya, setiap individu bertanggungjawab menjadikan ruang seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan ruang digital sebagai wadah memperkukuh persefahaman, bukannya menyemai perpecahan.


Beliau turut mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja –sebagai simbol kesetiaan dan semangat cinta negara.


“Pelancaran hari ini bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi satu seruan untuk kita menghayati makna sebenar kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kemiskinan dan perpecahan,” katanya.


Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan setiap Ogos merupakan detik bersejarah yang mengingatkan rakyat tentang perjuangan nenek moyang mempertahankan tanah air dan maruah bangsa.


“Sebagai rakyat Malaysia di Sabah, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan dan meneruskan legasi perjuangan ini,” tambahnya.


Majlis pelancaran itu diserikan dengan penyerahan bendera kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, wakil persatuan dan pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page