top of page

Kolej TVET Baharu Diperlukan Segera Di Sandakan

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 2 min read

ree

22 November 2025


SANDAKAN: Sebuah kolej tinggi TVET perlu dibina segera di Sandakan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda.


Institusi pendidikan itu perlu terutama selepas kejatuhan industri perkayuan yang sebelum ini menjadi nadi ekonomi daerah Sandakan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, satu daripada lima belia menganggur di negara ini berasal dari Sabah.


Katanya, mengikut statistik itu, ia menjadikan pendidikan kemahiran sebagai keperluan mendesak bagi negeri Sabah untuk membantu anak muda khususnya golongan belia.


“Di Sandakan ini sangat perlukan sebuah kolej tinggi TVET. Selepas industri perkayuan merosot, kawasan ini perlu dibangunkan semula. Satu daripada lima penganggur datangnya dari Sabah. Itu mesti diselesaikan.


“Dengan adanya kolej tinggi TVET, kita boleh tawarkan pekerjaan dengan gaji premium melebihi gaji minimum,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Sentuhan Kasih, di sini, pada Sabtu.


Zahid berkata, TVET menawarkan prospek gaji lebih baik melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan gaji permulaan sekitar RM2,500 untuk pemegang SKM Tahap 3, berbanding sekitar RM1,700 bagi lepasan SPM.


Katanya, SKM Tahap 4 hingga Tahap 8 pula setara dengan diploma, diploma lanjutan, ijazah, sarjana dan PhD.


“Tahap kebolehpasaran graduan TVET berada pada tahap tinggi iaitu 98.7 peratus graduan institusi TVET MARA mendapat pekerjaan, melepasi kadar kebolehpasaran nasional yang berada pada 95.1 peratus.


“Institut Binaan Malaysia (IBM) di bawah Kementerian Kerja Raya pula mencatatkan 100 peratus kebolehpasaran.


“Siapa kata lulusan TVET tiada masa depan? Enam universiti kini menerima pelajar TVET terus ke pengajian tinggi hanya menggunakan SKM Tahap 4 atau 5,” katanya.


Menurutnya, TVET hari ini turut menawarkan kursus berteknologi tinggi seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), robotik dan teknologi kenderaan elektrik, selari dengan keperluan industri masa hadapan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page