top of page

Kompleks Mini NRES Sabah dijangka siap 2029

  • nabalunews
  • Jan 17
  • 1 min read

17 Januari 2026


KOTA KINABALU: Pembinaan Kompleks Mini Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Sabah melibatkan kos RM80.9 juta dijangka siap sepenuhnya pada awal 2029.


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kontraktor telah mula memasuki tapak projek seluas 6.77 hektar di Kepayan pada penghujung tahun lepas, dan pembinaannya dijangka mengambil masa kira-kira 40 bulan.


Menurutnya, kompleks itu bakal menempatkan empat jabatan di bawah NRES yang sebelum ini beroperasi secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.


Jabatan terbabit ialah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pejabat Topografi Wilayah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sabah serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sabah.


"Sebelum ini, keempat-empat jabatan ini berselerak, memang (kompleks ini) sangat memudahkan sebab sebelum ini kebanyakan pejabat masih menyewa di kompleks di sekitar Kota Kinabalu.


“Jadi, kompleks ini akan memusatkan empat jabatan ini di satu lokasi yang memudahkan tugas kita, sekali gus menamatkan penantian untuk memiliki bangunan dan aset sendiri di Sabah,” katanya memetik Bernama, pada majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.


Turut dilaporkan hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Arifin.


Arthur berkata, pembinaan kompleks itu bukan sahaja menjimatkan kos sewaan, malah bakal meningkatkan kecekapan pengurusan dan gerak kerja kementerian melalui pemusatan operasi, mesyuarat serta latihan di satu lokasi strategik.


Jelasnya, kompleks tersebut juga akan dilengkapi dewan serbaguna, makmal JMG, gudang serta pejabat pengurusan.


Selain itu, katanya kompleks itu turut menerapkan ciri-ciri kehijauan bagi memastikan pembinaannya selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh elemen hijau dalam industri pembinaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page