KPM pastikan sekolah bersih, selamat dan kondusif untuk persekolahan pascabanjir

8 Disember 2024
ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua sekolah yang terjejas banjir, sudah berada dalam keadaan bersih, selamat dan kondusif sebelum pelajar kembali ke sekolah pasca bencana itu agar sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dapat berlangsung dengan baik serta selesa.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata KPM sangat menitikberatkan perkara berkenaan.
"Kita mahu sekolah dibersihkan dengan segera dan aspek keselamatan diutamakan kerana anak-anak perlu kembali ke sekolah.
"Oleh itu, kita sedaya upaya hendak kembalikan kelas fizikal tetapi perlu memastikan sekolah selamat, kondusif dan bersih.
"Di Kedah, sebanyak 19 sekolah terjejas akibat banjir. Banyak sekolah (yang terjejas) sudah kembali beroperasi seperti biasa dan hanya beberapa sekolah menjalankan PdP di rumah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke sekolah-sekolah terkesan banjir, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM masih mengumpul maklumat daripada semua sekolah yang terkesan banjir, untuk membuat anggaran kerugian secara keseluruhan.
"Biasanya, kita sudah ada unjuran (kerugian) tetapi ada sesetengah sekolah barangkali lebih teruk sedikit daripada yang lain, jadi kita perlu angka sebenar daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya dapat segera mengatasi isu berkaitan.
"Kita ada peruntukan bencana yang boleh dimohon segera oleh pihak sekolah jika ada kerosakan yang akan melumpuhkan keseluruhan institusi sekolah itu," katanya.
Comentarios