KPM siasat dakwaan kebocoran soalan Sejarah SPM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM siasat dakwaan kebocoran soalan Sejarah SPM


6 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


NILAI: Satu siasatan sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung dakwaan kebocoran soalan subjek Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa pihaknya mengambil tanggungjawab penuh mengenai perkara itu dan menegaskan integriti pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.


"Kita akan siasat dan ambil penuh tanggungjawab ini. Dalam masa sama saya tegaskan, integriti kita cukup tinggi dalam mengawal dan memastikan isu peperiksaan ini dijaga dengan rapi dan dikawal dengan baik.


“SPM ini adalah peperiksaan nasional dan dari segi integriti, keselamatan dan kawalan adalah sangat ketat. Jadi apa saja dakwaan tentang kebocoran ini kita akan siasat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini pada Selasa.


Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pendidikan, Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin.


Fadhlina juga berharap para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM tidak terganggu dengan berita mengenai dakwaan kebocoran soalan Sejarah dan memberi fokus pada kertas peperiksaan lain.


Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada adalah sudah mencukupi bagi mengelakkan isu kebocoran kertas peperiksaan berlaku.


Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM788 juta diperuntukkan untuk pemberian BAP melibatkan seramai lebih lima juta murid yang dijangka selesai sepenuhnya 10 Februari ini.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page