top of page

Kursus Asas Pembuatan Rantai dan Anting-Anting di Kota Belud Galak Pembangunan Usahawan Wanita

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 2 min read

ree

2 September 2025


KOTA BELUD: Kursus Asas Membuat Rantai dan Anting-Anting menggunakan manik campuran buah dalai anjuran TEKUN Nasional dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar (USHWANE) Cawangan Kota Belud telah diadakan pada 31 Ogos 2025 di Mini Dewan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Kampung Piasau.


Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Pengerusi USHWANE merangkap Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence Odong. Seramai 27 orang peserta, terdiri daripada golongan wanita dan usahawan kecil luar bandar, hadir menyertai kursus yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Amilda Taising.


Kursus ini memberi penekanan kepada teknik asas dalam pembuatan aksesori seperti rantai dan anting-anting dengan menggunakan manik buah dalai, sekali gus memperkenalkan peluang keusahawanan berasaskan kraf tangan tempatan. Peserta turut diberi ruang untuk mempraktikkan kemahiran secara langsung sepanjang sesi pembelajaran.

ree

Dalam ucapannya, Rowindy menegaskan bahawa kursus ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasakan ekonomi wanita luar bandar melalui pendedahan kepada kemahiran baharu yang berpotensi menjana pendapatan. Beliau menambah bahawa hasil kreativiti wanita mampu dikomersialkan dengan sokongan latihan dan akses pembiayaan yang bersesuaian.


“Wanita luar bandar mempunyai potensi besar dalam bidang keusahawanan kreatif. Dengan adanya kursus seperti ini, mereka bukan sahaja menambah ilmu dan kemahiran, malah dapat menjadikan ia sebagai sumber pendapatan tambahan untuk keluarga,” ujar beliau.


Selain pendedahan kepada kemahiran kraf tangan, TEKUN Nasional turut menganjurkan Program Taklimat Pembiayaan TEKUN bagi memberi maklumat berhubung skim pembiayaan yang disediakan kepada usahawan kecil. Taklimat tersebut bertujuan memudahkan peserta memahami peluang pembiayaan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan.

ree

Peserta kursus menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan harapan agar lebih banyak program seumpamanya dilaksanakan pada masa akan datang, khususnya yang menyokong aspirasi wanita untuk menjadi usahawan yang lebih berdaya saing.


Program ini secara jelas membuktikan komitmen TEKUN Nasional bersama USHWANE dalam memperkukuh peranan wanita luar bandar melalui pendidikan kemahiran dan sokongan kewangan yang berterusan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page