top of page

Kursus Asas Perakaunan KBWake Bantu Usahawan Kecil Kuasai Kemahiran Simpan Kira

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

ree

19 Oktober 2025


KOTA BELUD: Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (KBWake) telah menganjurkan Program Kursus Asas Perakaunan bertempat di Mini Dewan Skyblue, Piasau, baru-baru ini. Program yang berlangsung pada 17 Oktober itu berjaya menarik penyertaan seramai 26 orang peserta, kebanyakannya terdiri daripada usahawan kecil wanita di sekitar daerah ini.


Penceramah jemputan, Ricky Gilong, telah menyampaikan kursus yang memberi penekanan kepada konsep dan kaedah asas simpan kira — satu kemahiran penting bagi memastikan setiap usahawan mampu mengurus dan menilai prestasi kewangan perniagaan mereka dengan lebih sistematik.


Setiausaha Persatuan, Maison Bansai, menjelaskan bahawa tujuan utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para usahawan kecil mengenai kepentingan rekod kewangan yang teratur.

ree

“Kebanyakan peniaga kecil di daerah ini mempunyai kemahiran dalam penghasilan produk dan urus niaga harian, namun ramai yang masih belum mahir dalam bidang simpan kira atau penyediaan laporan kewangan. Akibatnya, perniagaan mereka sukar berkembang kerana tiada catatan bertulis untuk menilai prestasi,” katanya.


Menurut Maison lagi, program ini merupakan inisiatif rintis KBWake dalam memperkukuh kemahiran asas keusahawanan, terutama dalam pengurusan kewangan. Program ini turut menjadi sebahagian daripada usaha persatuan menyediakan pembiayaan berskala kecil kepada kumpulan peniaga gerai dan usahawan di kampung-kampung terpilih sekitar Kota Belud.


Beliau turut menegaskan bahawa kemampuan usahawan mengurus kewangan dengan berdisiplin akan membantu mereka menilai keuntungan, mengurus stok, dan merancang pengembangan perniagaan dengan lebih efektif.


“Kita mahu lihat lebih ramai wanita tempatan menjadi usahawan berilmu yang bukan sahaja tahu menjual tetapi juga bijak mengurus angka dan aliran tunai,” tambahnya.


Maison turut berharap agar inisiatif ini dapat dijadikan program yang berterusan demi melahirkan komuniti usahawan kecil wanita yang berdaya saing, berilmu, dan berkeyakinan tinggi, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page