KUSKOP anjur HPPK Kebangsaan di Penampang, mini HPPK di Kadamaian, tahun ini - Ewon
top of page
  • nabalunews

KUSKOP anjur HPPK Kebangsaan di Penampang, mini HPPK di Kadamaian, tahun ini - Ewon

6 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) buat julung kalinya akan menganjurkan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan di luar Putrajaya iaitu Penampang dan Mini Karnival HPPK di Kadamaian, tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sebelum ini acara tahunan kementerian itu yang diadakan 18 November setiap tahun, tidak pernah diadakan di luar Putrajaya.


Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya sambutan itu yang bertujuan menghargai sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil terhadap ekonomi negara diadakan di Sabah.


“Pada tahun ini sambutan HPPK peringkat Kebangsaan akan diadakan di Penampang. Kita juga akan mengadakan Mini Karnival HPPK Peringkat Kadamaian untuk memberi peluang kepada para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di sini meraikan sambutan itu.


“Pada dasarnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi persetujuan agar sambutan ini diadakan di luar Putrajaya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau turut mengambil maklum aduan para penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di Tamu Mingguan Taginambur.


Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan pembangunan Fasa 3 Tamu Mingguan Taginambur di Kadamaian Square untuk kemudahan para penjaja dan peniaga kecil.

bottom of page