KUSKOP sedia pelbagai inisiatif sokongan peniaga kecil
- nabalunews
- 14 hours ago
- 2 min read

27 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan pelbagai inisiatif sokongan bagi memastikan peniaga kecil kekal berdaya saing.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata KUSKOP mengambil maklum keresahan peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan inisiatif kos sara hidup seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jualan Rahmah yang menawarkan harga lebih rendah.
Bagaimanapun katanya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi kos sara hidup.
“Pendekatan seimbang perlu diambil supaya keperluan rakyat berpendapatan rendah dipenuhi tanpa menjejaskan kelangsungan peniaga kecil yang menjadi nadi ekonomi tempatan.
“Bagi tujuan ini, KUSKOP sentiasa menyediakan bantuan dan sokongan kepada peniaga kecil dalam meningkatkan jualan melalui pelaksanaan pelbagai inisitiaf,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kementerian menangani keluhan peniaga kecil yang mendakwa jualan mereka terjejas akibat inisiatif pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jualan Rahmah yang menawarkan harga jauh lebih rendah.
Abdul Latif juga bertanya mengenai langkah mitigasi bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil tidak terjejas dalam usaha membantu pengguna.
Ramanan berkata, antara inisiatif dilaksanakan KUSKOP termasuk Studio TikTok, Platform MyMall dan pelbagai program bimbingan keusahawanan melalui agensi seperti TEKUN Nasional dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Menrurutny, inisiatif tersebut bertujuan membantu peniaga kecil mengadaptasi teknologi digital untuk memperluaskan pasaran dan meningkatkan jualan.
“Program Padan Niaga SDSI pula membuka ruang kepada usahawan tempatan memperluas rantaian perniagaan dengan pengedar, ejen pemasaran, pengimport serta pasar raya besar sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan mereka di bawah kerangka Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
“Usahawan juga boleh menyertai pelbagai karnival dan program promosi seperti Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK), Program Jualan MADANI, Minggu PMKS dan Showcase SDSI yang dianjurkan oleh KUSKOP dan agensi seperti UDA Holdings, TEKUN dan PERNAS,” jelasnya.
Selain itu katanya, inisiatif seperti Mari Mart berperanan sebagai pusat borong sehenti di bawah kendalian UDA Holdings telah menyediakan platform memperkukuhkan pasaran produk tempatan.
Ramanan berkata, bagi penjaja kecil di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak, KUSKOP turut membina serta menaik taraf infrastruktur perniagaan menerusi projek tamu desa.
Pada 2024 katanya, sebanyak 59 projek di Sabah dengan nilai RM11.43 juta dan 39 projek di Sarawak bernilai RM6.6 juta telah dilaksanakan, merangkumi pembinaan baharu serta naik taraf ruang niaga premis tamu desa.