top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP teliti cadangan Projek Ehsan@KUSKOP bantu tangani kemiskinan di Sabah - Ewon

5 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya akan melaksanakan Projek Ehsan@KUSKOP bagi membantu menangani insiden kemiskinan di negeri ini.


Beliau berkata, program khas akan menggunakan pendekatan “whole of ministry” iaitu merangkul peranan semua agensi, yayasan dan universiti di bawah portoflio beliau melalui gerakan keusahawanan, koperasi dan pendidikan.


Beliau berkata, cadangan Projek Ehsan@KUSKOP tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya pada Rabu yang lalu dengan menjadikan gerakan keusahawanan, koperasi dan pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha menoktahkan kemiskinan atau menangani isu kemiskinan di Sabah.


“Sebagai anggota kabinet yang berasal dari Sabah, saya terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini. Daripada kita mahu menuding jari mencari di mana silapnya, saya berpandangan lebih baik saya merangkul kekuatan di Kementerian untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu ini.


“Sebab itu kita akan menggerakkan agensi-agensi, yayasan dan universiti yang diletakkan di bawah portfolio saya bagi membentuk sinergi di bawah Projek Ehsan@KUSKOP untuk membantu menangani isu kemiskinan di Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan demikian ketika ditemui media selepas Majlis Iftar Agensi-Agensi KUSKOP di Sabah bersama Pengamal Media Sabah di sini, semalam.


Menurut beliau, projek rintis akan dimulakan di tiga daerah di utara Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud yang mempunyai insiden kemiskinan yang tinggi.


“Antara sasaran program khas itu ialah melahirkan sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga yang tersenarai dalam e-Kasih atau yang tergolong dalam kategori B40 menjadi usahawan atau peniaga kecil.


“Kita mempunyai agensi bimbingan seperti INSKEN dan IKMA yang akan membimbing dalam aspek keusahawanan, kita juga mempunyai agensi pembiayaan seperti TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp dan Bank Rakyat yang boleh menyalurkan pembiayaan mikro kepada mereka.


“Manakala, bagi membantu pendidikan anak-anak keluarga ini, kita mempunyai Yayasan Bank Rakyat dan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia yang akan memainkan peranan. Pelaksanaan ini akan didukung melalui koperasi dan Suruhanjaya Koperasi akan mempunyai kawalan ke atas pelaksanaan projek tersebut,” katanya.


Ewon berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah berkaitan dengan projek tersebut.


“Ini adalah tanggungjawab saya dan kementerian untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan di Sabah. Saya tidak mahu bercakap kenapa insiden kemiskinan di Sabah terlalu tinggi sedangkan tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah.


“Saya ingin menjemput rakan-rakan pimpinan di Sabah sekiranya ingin bercakap tentang insiden kemiskinan di Sabah, marilah sama-sama jadikan diri kita sebahagian daripada penyelesaian masalah tersebut. Kita rangkul kekuatan bersama untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.


Beliau berharap program rintis di tiga daerah itu dapat dilaksanakan dalam separuh penggal kedua tahun ini.

Comments


bottom of page