top of page
nabalunews

Laluan Jejak Warisan Sandakan menghubungkan suasana lama dan masa kini



Peserta My EE Conference Kali Ke-4 bersama Lai King Hang dan hadirin yang lain semasa lawatan ke Jejak Warisan Sandakan.

16 Oktober 2024


SANDAKAN: Kira-kira 32 peserta Persidangan Pendidikan Alam Sekitar Malaysia (Malaysian Environmental Education Conference) / My EE Conference Kali Ke-4 menyertai lawatan ke laluan Jejak Warisan Sandakan di sekitar bandar Sandakan sebagai salah satu pengisian lawatan di lapangan sepanjang persidangan itu di Sandakan.


Hadir sama, Pengerusi Jejak Warisan Sandakan, Lai King Hang, Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN), Teo Chee Kim dan ahli Jejak Warisan Sandakan, Lily Aw dan Catherin Chua serta sukarelawan yang lain.


Semasa pertemuan singkat itu, turut diadakan taklimat ringkas mengenai Jejak Warisan Sandakan di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) oleh Pengerusi Jejak Warisan Sandakan, Lai King Hang.


Lai menekankan kepentingan bagi generasi muda untuk belajar dan memahami sejarah tempatan kita bagi memastikan tinggalan terdahulu dan sejarah lampau terus dapat diketahui masyarakat pada masa kini dan hadapan.


Terdahulu, berucap pada majlis itu, Timbalan Presiden MPS, Wilson Thomas, menyarankan semua peserta untuk terus mengadakan pertemuan dengan masyarakat tentang bagaimana mereka boleh berperanan sama dalam menjaga kelestarian alam sekitar menerusi pendidikan alam sekitar.


Seramai 160 peserta dalam dan luar negara terdiri warga pendidik, badan bukan kerajaan dan yang berkenaan menyertai persidangan anjuran Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama pelbagai pihak itu diadakan selama tiga hari itu di Rainforest Discovery Centre (RDC) bermula 14 Oktober dan berakhir hari ini.


Ia dirasmikan Timbalan Konservator Hutan Sabah (Penyelidikan dan Pembangunan) Dr. Arthur Chung dan turut dihadiri Pengerusi Penganjur yang juga Pengurus RDC, Bernadette D Joeman.

Comments


bottom of page