Lawatan sambil belajar Murid SJKC Syn Hua Sandakan ke Kuil Sri Sithi Vinayagar sempena Deepavali
- nabalunews
- Nov 1, 2024
- 2 min read

1 November 2024
SANDAKAN: Sempena Deepavali seramai 7 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Syn Hua Sandakan membuat lawatan sambil belajar ke Kuil Sri Sithi Vinayagar, Sandakan bagi mendekati dan mengenali kepelbagaian budaya di negara ini.
Dalam lawatan ini, kesemua murid berkenaan diiringi dua guru pengiring dari sekolah tersebut.
Ketika ditemui media, Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Syn Hua Sandakan, Pea Pue Jen berkata lawatan itu antara program kemenjadian murid sekolah terbabit untuk mengenali kepelbagaian adat dan budaya yang ada di negara ini ketika sambutan Deepavali dan perayaan lain yang diraikan bersama dengan penuh keharmonian.
"Menerusi lawatan murid-murid ini, mereka juga akan mengambil sedikit gambar dan maklumat berkaitan serta akan berkongsi pengalaman mereka melalui laman sosial Facebook rasmi sekolah ini," jelas beliau.
Sementara itu, sambutan Deepavali di kuil berkenaan juga meriah dengan kehadiran penganut yang hadir pagi tadi bagi upacara keagamaan.
Pengunjung seterusnya di jamu dengan makanan tradisi bersama rakan dan keluarga masing-masing selain turut beramah mesra.
Turut hadir, Setiausaha kuil itu, Rathivarman Subramaniam bersama isterinya, Narshini Ramachandran dan bayi mereka yang baru lahir.
Pasangan suami isteri itu juga buat kali kedua merayakan Deepavali di Sandakan, jauh dari sanak saudara di Semenanjung Malaysia namun mereka tetap bersyukur kerana dapat merayakan Deepavali bersama rakan di Sandakan yang ramah.
Rathivarman adalah seorang penjawat awam di Sandakan dan telah berkhidmat di Sabah sejak 8 tahun lalu.
Bagi pelajar Goon International College, Kuala Lumpur, Sanggetha Murugan, 22, yang berasal dari Pahang, ini juga kali pertama dia merayakan Deepavali tanpa keluarga di sisi.
Jelasnya, dia gembira bertemu rakan baharu di sini yang sangat mesra termasuk semua masyarakat Sandakan yang ditemuinya sepanjang menjalani latihan industri di Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sandakan selama 4 bulan.

















Comments