top of page

Lebih 14,000 Anggota Pelbagai Agensi Siap Siaga Hadapi Banjir Di Sabah

nabalunews



3 Disember 2024


KOTA KINABALU: 14,209 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi sudah diatur-gerak untuk bersiap sedia menghadapi bencana banjir di Sabah.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mohd Yusoff Samad berkata selain itu, 1,456 aset disediakan oleh agensi terbabit termasuk 16 logistik udara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan hingga awal tahun depan.


Agensi terlibat antaranya APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi negeri yang berkaitan.


"Kekuatan bagi petugas pada kali ini untuk monsun MTL 2024 / 2025 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 berakhir nanti pada bulan Mac 2025 nanti, seramai lebih kurang 14,209 melibatkan pelbagai agensilah.


"Agensi responder iaitu polis, tentera, bomba, JPAM dan pelbagai lagilah Jabatan RELA, semualah dan kerajaan negeri. Jumlah bagi keseluruhan lojistik baik di air, darat dan udara melibatkan sebanyak 1,456 iaitu pecahannya bagi lojistik darat sebanyak 977 dan 463 untuk lojistik air dan 16 adalah untuk lojistik udara," katanya.


Mohd Yusoff berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pentauliahan pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Selasa.


MTL, yang bermula awal bulan lalu, dijangka berterusan sehingga Mac dengan hujan lebat diramalkan berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia, Sarawak serta Sabah dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.


Mohd Yusoff berkata anggota APM bersiap sedia di semua daerah termasuk 10 daerah kecil di Sabah yang bermula dari zon Kudat, Kota Kinabalu, Beaufort, Keningau, Tawau dan Sandakan.


Mengenai majlis itu, beliau berkata 57 anggota Kor SISPA UMS ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda selepas berjaya melengkapkan lima kursus wajib sepanjang penglibatan di bawah modul latihan pertahanan awam di universiti berkenaan.


Mohd Yusoff berkata mereka akan ditempatkan di lokasi tempat tinggal masing-masing sebagai persediaan mendepani sebarang bencana dan kecemasan.

Comments


bottom of page