Lelaki curi telefon bimbit jemaah surau ditahan
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

29 Mei 2025
LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan, semalam, selepas dirakam mencuri telefon bimbit seorang wanita warga emas, di Masjid Kampung Tamoi Lama, di sini, dalam kejadian 16 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek berusia 38 tahun itu dikenalpasti hasil pemantauan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.
Katanya, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di Terminal Bas Bandar.
“Ketika ditahan, pasukan operasi turut berjaya merampas telefon pintar yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, suspek memiliki enam rekod lampau berkaitan jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek turut didapati positif dadah jenis syabu selepas diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.