Lelaki hilang, dikhuatiri dibaham buaya, anak saudara selamat
- nabalunews
- Sep 12, 2024
- 1 min read

11 September 2024
KOTA MARUDU: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya manakala anak saudaranya terselamat ketika mereka mandi-manda di sebuah sungai di Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.07 petang.
Katanya, sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut maklumat awal dari pemanggil, terdapat dua mangsa melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan.
“Seorang mangsa remaja berusia 17 tahun selamat manakala seorang lagi berusia 35 tahun dikhuatiri dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi sedang melakukan pencarian di lokasi kejadian.
Operasi SAR digerakkan menggunakan sebuah bot bomba dan sebuah bot orang kampung dengan menyusuri sungai.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Comentários