top of page

Lelaki hilang ditemui lemas di Beaufort

  • nabalunews
  • Aug 23, 2024
  • 1 min read

23 Ogos 2024


BEAUFORT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi sungai menggunakan bot di Kampung Bangkalalak, di sini, Rabu lalu ditemui lemas, pagi tadi.


Mangsa dikenali sebagai Boy Abdullah, 20, ditemui kira-kira jam 8 pagi tadi, pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung yang turut sama menjalankan SAR di kawasan pencarian di sungai pada jarak tiga kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).


“Bertindak dengan maklumat penemuan itu, sepasukan anggota ke lokasi bagi membawa mangsa ke PKB sebelum proses pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga.


“Sebaik mengesahkan identiti terbabit, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 11.16 pagi.


Terdahulu, mangsa dikatakan hilang ketika menyeberangi sungai menggunakan bot untuk menghantar barang.


Pada jam 4 petang hari sama, bot mangsa ditemukan tanpa pengemudi sebelum panggilan kecemasan dibuat kepada pihak berkuasa.


Mohammad Hasbullah berkata, operasi SAR hari ketiga bermula jam 8 pagi tadi dengan jarak 10 kilometer daripada PKB menggunakan kaedah water surface dan teknik wave.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page