Lelaki Parah Terjatuh Atas Bumbung Kereta
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

5 September 2025
KOTA KINABALU: Orang ramai yang berada di Pusat Beli Belah KK Plaza panik selepas seorang lelaki dilaporkan terjatuh dari atas bangunan dan menghempap sebuah kereta, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat hentakan kuat namun dilihat masih berada dalam keadaan sedarkan diri.
Kejadian mengejutkan itu turut disaksikan pengunjung pusat beli belah serta orang ramai di lokasi berhampiran sehingga menimbulkan kekecohan seketika.

Bagaimanapun kehadiran pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan dengan baik dan mententeramkan orang ramai termasuk mengawal lalu lintas di lokasi berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.54 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba terus bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang parah kemudiannya diserahkan kepada Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut hadir membantu di lokasi.
Comments