Lelaki Pecah Masuk Rumah Sebelum Raba Paha Mangsa Ditahan
- nabalunews
- 15 minutes ago
- 1 min read

5 Disember 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas menceroboh masuk sebuah rumah sebelum mencabul wanita yang sedang tidur dalam kejadian di Kampung Inderasabah, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang terkejut dikatakan diugut menggunakan sebilah pisau dan diarahkan supaya tidak menjerit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa sedang tidur bersama dua anak perempuannya sebelum terjaga selepas menyedari pahanya diraba.

Katanya, mangsa terkejut selepas menyedari kelibat seorang lelaki berada di sebelahnya sambil memegang sebilah pisau.
“Suspek dikatakan cuba mengugut mangsa agar tidak menjerit namun kejadian itu sudah disedari suami dan kedua- dua anak suri rumah terbabit.
“Kejadian menyebabkan suspek panik dan terus melarikan diri melalui bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas laporan suami mangsa yang berusia 40-an, sepasukan Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Inderasabah pada jam 1.30 tengah hari, semalam.
“Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.


















Comments