top of page
nabalunews

LHDN hargai peranan media Sabah dalam memperluaskan informasi percukaian

9 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf sumbangan penting pengamal media di Sabah dalam menyebarluaskan informasi dan agenda percukaian kepada masyarakat.


Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, menyifatkan hubungan antara LHDN dan pengamal media di Sabah sebagai erat dan berkesinambungan, di mana media memainkan peranan penting dalam mempromosikan perkhidmatan percukaian secara meluas.


"Melalui kerjasama ini pelbagai mesej dan informasi banyak membantu menyebarluaskan maklumat perkhidmatan percukaian terkini dengan skala yang besar dalam tempoh yang singkat.


"LHDN turut tidak menafikan peranan media sangat penting dalam penyaluran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat hingga ke akar umbi,” kata Abu Tariq dalam ucapannya semasa Majlis Hi-Tea Ketua Pegawai Eksekutif Hasil Bersama Media Sabah pada Khamis.


Majlis yang diadakan selari dengan tema Hari Wartawan Nasional “Etika Teras Kewartawanan Mapan” itu telah meraikan hampir 40 pengamal media Sabah, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama yang diberikan.


Abu Tariq turut menyentuh mengenai portal MyInvois yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu, sebagai satu inisiatif LHDN dalam memodenkan pentadbiran percukaian negara.


“Portal ini menjadi gerbang utama kepada sistem e-Invois yang diharapkan dapat mengubah dimensi pentadbiran cukai, menyokong usaha mendigitalisasikan ekonomi masa depan,” tambahnya.


Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar, dan Pengarah Negeri HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin.

Comments


bottom of page