Madius gesa kerajaan tangani isu-isu kesihatan di Sabah

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Kerajaan perlu mengambil tindakan konkrit dan menyeluruh bagi menangani masalah kesesakan hospital dan klinik kesihatan di Sabah, termasuk memperkukuh tenaga kerja, menyediakan insentif yang lebih kompetitif serta meningkatkan sistem pengurusan rekod perubatan.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata setiap syor dalam Penyata Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Kesihatan ke Sabah perlu diterjemahkan kepada tindakan, peruntukan, garis masa dan ukuran pencapaian yang jelas.
Beliau berkata isu kesesakan bukan hanya melibatkan jumlah pesakit yang menunggu, tetapi turut merangkumi kekurangan petugas, ruang rawatan yang terhad, kelewatan rujukan serta kelemahan dalam pengurusan rekod pesakit.
“Apabila Klinik Kesihatan tidak mempunyai ruang dan petugas yang mencukupi, tekanan dipindahkan ke hospital. Di Tuaran, tekanan itu akhirnya sampai ke hospital-hospital rujukan di Kota Kinabalu,” katanya ketika membahaskan penyata berkenaan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO turut berkongsi pengalaman bapanya yang mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di Penampang, apabila kira-kira 200 pesakit warga emas dilaporkan sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, hanya dua doktor dilihat merawat pesakit dalam sebuah bilik kecil, manakala rekod perubatan bapanya kemudiannya tidak dapat dikesan selepas sampel darah diambil.
Beliau berkata perkara itu telah dirujuk kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah untuk siasatan, namun sehingga hari ini rekod berkenaan masih belum ditemui.
Madius menegaskan beliau tidak menyalahkan doktor atau petugas kesihatan berikutan mereka turut berdepan keadaan ruang dan sumber yang terhad.
“Apabila rekod pesakit tidak dapat dikesan, yang hilang bukan sekadar satu fail. Yang terputus ialah sejarah penyakit, ubat-ubatan, keputusan pemeriksaan dan kesinambungan rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Madius mengemukakan lima komitmen yang perlu diberi perhatian kerajaan menerusi Belanjawan 2027, termasuk menyediakan Pelan Khas Mengurangkan Kesesakan Hospital dan Klinik Kesihatan Sabah yang dilengkapi keutamaan, peruntukan dan garis masa.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dengan mandat khusus untuk merancang keperluan tenaga kerja, mengurus lantikan dan laluan kerjaya serta menentukan kerangka saraan yang kompetitif bagi petugas kesihatan dan perubatan.
Selain itu, beliau menggesa Bayaran Insentif Wilayah dikembalikan kepada struktur progresif berasaskan gaji, dengan pegawai perubatan diberi keutamaan sebagai langkah kecemasan sekiranya pelaksanaannya belum dapat diperluaskan kepada semua penjawat awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli itu turut mencadangkan bonus mula tugas RM5,000 kepada pegawai perubatan yang melapor diri untuk penempatan tetap di Sabah atau Sarawak serta bonus pengekalan RM10,000 selepas genap lima tahun berkhidmat.
Dalam usaha membangunkan lebih ramai tenaga perubatan anak tempatan, beliau mencadangkan supaya kuota kemasukan yang munasabah diberikan kepada anak Sabah dan Sarawak untuk mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau pada masa sama mencadangkan insentif setara diberikan kepada doktor anak Sabah yang berkhidmat di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman.
Madius berkata ganjaran berkenaan hendaklah berdasarkan kesukaran penempatan dan nilai perkhidmatan, bukan negeri asal seseorang doktor.
Beliau turut menggesa kerajaan melaksanakan sistem rekod perubatan elektronik yang bersepadu dan selamat antara klinik dengan hospital bagi memastikan kesinambungan rawatan serta meningkatkan keselamatan dan kerahsiaan maklumat pesakit.
Mengenai pembiayaan, Madius mencadangkan supaya sebahagian penjimatan daripada rasionalisasi subsidi atau insentif gula disalurkan kepada insentif tenaga kesihatan.
“Tuaran tidak meminta layanan istimewa. Tuaran menuntut layanan yang adil berdasarkan realiti Sabah,” katanya.
Beliau meminta Menteri berkaitan menjelaskan sama ada lima komitmen tersebut akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
“Jangan tambah bangunan tanpa petugas. Jangan tempatkan doktor tanpa sebab untuk mereka datang dan kekal. Jangan bentangkan Penyata tanpa memastikan pelaksanaannya,” katanya.















Comments