MAJIKAN DIINGAT LAKUKAN UJIAN SARINGAN COVID-19 TERHADAP PEKERJA ASING
11 JAN 2021
OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID
PUTATAN: Tindakan akan diambil kepada majikan yang gagal melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing di Sabah.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, tindakan itu akan diambil dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibawah peruntukan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
“Para majikan yang menggaji pekerja asing di negeri ini diingat dan diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 bermula 11 Januari sehingga 28 Februari depan. Ini adalah susulan kebimbangan kerajaan apabila kes Covid-19 semakin meningkat dari masa ke semasa.
“Pihak JTK Sabah bersama agensi penguatkuasa di bawah Kementerian Sumber Manusia seperti Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melakukan operasi bersepadu dengan mengadakan siri lawatan di semua premis terbabit,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Operasi Pematuhan Ujian Saringan Covid-19 terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing di Sabah di salah sebuah kilang di Putatan pagi tadi.
Wan Zulkfli berkata, sebanyak 7,579 majikan menggajikan seramai 115,157 pekerja asing di negeri Sabah.
“Kita telah mula melaksanakan ujian saringan Covid-19 ini di Sabah bermula 16 Disember 2020 dan sehingga kini hanya 700 majikan yang tampil, membabitkan 3,200 pekerja asing yang sudah disaring.
“Justeru itu, kita mahu semua majikan tampil membuat ujian saringan kepada pekerja-pekerja asing mereka. Setiap pekerja asing yang digajikan dan dibuat saringan akan diberi subsidi oleh PERKESO sebanyak RM60,” katanya.
Menurutnya, kewajipan melakukan ujian saringan perlu dibuat majikan selepas dihubungi dan dilawati oleh pihak JTK ke premis majikan terbabit.
Dalam pada itu, Wan Zulkfli berkata, kos ujian saringan Covid-19 akan ditanggung oleh majikan kecuali pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO dan akan dilaksanakan di klinik-klinik panel dilantik.
Katanya, ujian saringan adalah percuma ke atas majikan yang mencarum kepada PERKESO dan para majikan perlu mengatur dan membawa pekerja mereka secara berjadual ke klinik-klinik panel yang dilantik oleh PERKESO khususnya di Sabah.
Comments