Majikan Perlu Benarkan Pekerja Keluar Mengundi – JTK Sabah
- nabalunews
- 57 minutes ago
- 1 min read

25 November 2025
KOTA KINABALU: Majikan sektor swasta diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 pada Sabtu ini.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dalam kenyataaan memaklumkan pelepasan masa sementara (“time-off”) perlu diberi kepada pekerja yang mengundi di pusat pengundian berdekatan, atau hari kelepasan untuk yang mengundi di pusat pengundian jauh.
“Pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat pengundian boleh mengambil cuti tahunan.
“Majikan hendaklah berunding dengan pekerja sama ada memberi "time off" atau cuti tahunan sekiranya pada hari mengundi tidak diisytiharkan sebagai hari kelepasan am oleh Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, JTK Sabah turut mengingatkan bahawa majikan tidak dibenarkan membuat potongan gaji atau mengenakan sebarang penalti di atas ketidakhadiran pekerja untuk keluar mengundi.
Jabatan itu menegaskan mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara satu tahun jika sabit kesalahan.














