top of page

Majikan Pilih Graduan UMS: Universiti Kukuh Sebagai Pilihan Utama Pelajar

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

12 April 2026


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan apabila diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan nasional di bawah Talentbank Graduate Employability Index, berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan di seluruh Malaysia.


Pengiktirafan berprestij ini mencerminkan tahap keyakinan tinggi industri terhadap kualiti graduan UMS dari segi kompetensi profesional, kesediaan memasuki alam pekerjaan serta prestasi di tempat kerja, sekali gus memberi mesej jelas kepada bakal pelajar dan ibu bapa bahawa memilih UMS merupakan pelaburan masa depan yang tepat.


Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri semasa.


“UMS bukan sekadar menawarkan pendidikan, tetapi menyediakan laluan jelas ke arah kerjaya masa hadapan.


"Graduan UMS bukan sahaja berilmu, malah diyakini industri dan bersedia menyumbang sebaik melangkah ke dunia pekerjaan,” katanya.


Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, penilaian berasaskan majikan menjadi indikator penting dalam menentukan nilai sebenar sesebuah institusi.


Sehubungan itu, UMS terus memperkukuh ekosistem akademiknya agar selari dengan kehendak industri, sekali gus memastikan graduannya bukan sahaja memperoleh pekerjaan, tetapi turut menjadi pilihan utama majikan.


Beberapa bidang pengajian di UMS turut menerima pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice, termasuk bidang pertanian, perbankan, kaunseling, pendidikan awal kanak-kanak, keusahawanan, sains makanan, pengurusan hospitaliti, pemasaran, sains sosial dan pelancongan.


Pencapaian ini mencerminkan kekuatan program akademik UMS yang responsif, dinamik dan berorientasikan masa hadapan.


Dalam pada itu, UMS terus memperkukuh pendekatan pendidikan berasaskan industri melalui integrasi pembelajaran dengan pengalaman sebenar di tempat kerja, kerjasama strategik dengan pemain industri serta pembangunan keusahawanan pelajar.


Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya di peringkat nasional dan antarabangsa.


Naib Canselor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga UMS, khususnya ahli akademik, atas komitmen berterusan dalam membentuk graduan berkualiti tinggi.


“Para pensyarah dan ahli akademik merupakan tunjang utama dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga mempunyai nilai, kemahiran dan jati diri yang tinggi,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) serta Pusat Pengurusan Strategik UMS atas peranan strategik dalam menyokong pencapaian universiti.


“CEDeC memainkan peranan penting dalam menjalin sinergi antara universiti dan industri melalui inisiatif kebolehkerjaan, pembangunan kerjaya dan keusahawanan pelajar, manakala Pusat Pengurusan Strategik memastikan setiap strategi universiti dilaksanakan secara terarah, berimpak tinggi dan berasaskan data. Kedua-duanya merupakan tonggak utama kepada kecemerlangan UMS,” katanya.


Seiring dengan aspirasi sebagai “The Brain of Borneo”, UMS komited untuk terus menawarkan pengalaman pembelajaran holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik, inovasi serta keunikan persekitaran Sabah.


Pengiktirafan ini sekali gus memperkukuh kedudukan UMS sebagai universiti pilihan utama pelajar tempatan dan antarabangsa yang mencari pendidikan berkualiti, relevan dan berimpak tinggi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page