Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di SICC Sabtu ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan di SICC Sabtu ini

16 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dalam semangat perpaduan dan kebersamaan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama Kerajaan Negeri Sabah bakal mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan.


Acara yang akan berlangsung pada 20 April di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu ini, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.


Majlis ini adalah platform kepada seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana harmoni. Tradisi rumah terbuka yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia, diharapkan dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan antara masyarakat.


Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang sambutan Aidilfitri yang bertemakan Perpaduan Melalui Perayaan ini adalah manifestasi daripada keindahan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


"Sambutan ini wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh Bangsa Malaysia serta dijadikan sebagai teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.


"Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat," katanya.


Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa majlis itu juga permulaan Jelajah Kembara Perpaduan yang akan berlangsung sempena Minggu Perpaduan 2024 pada bulan Mei.


Acara ini akan menampilkan Pameran Rumah KAMI yang merangkumi 12 buah rumah etnik, pameran alat muzik, tarian dan permainan tradisional, serta persembahan daripada artis terkenal tanah air.


KPN dan Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Negeri Sabah, untuk menyertai perayaan ini di SICC.

bottom of page