top of page

Malaysia teroka kerjasama dengan dua syarikat gergasi China, BAIDU dan Tencent

  • nabalunews
  • Oct 11, 2024
  • 1 min read

11 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan sedang menuju ke arah kemajuan teknologi melalui perbincangan strategik yang diadakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, bersama dua syarikat teknologi terkemuka China, BAIDU dan Tencent.


Sesi perbincangan yang diadakan di Shenzhen itu membincangkan peluang kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar, bertujuan memperkasa pembangunan bandar serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.


Dalam kenyataannya di Facebook, Dr. Zaliha memaklumkan bahawa BAIDU menawarkan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk melatih bakat AI tempatan.


“Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, ia akan membolehkan kita melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan, memperkasakan generasi muda dan meningkatkan daya saing negara dalam bidang teknologi,” katanya.


Selain itu, BAIDU turut mengemukakan cadangan penggunaan teknologi AI bagi memperbaiki pengurusan lalu lintas dan pengangkutan awam, yang dijangka menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup di bandar.


Pada sesi perbincangan bersama Tencent, Dr. Zaliha diperkenalkan kepada konsep SuperApps, iaitu aplikasi pintar yang mampu menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu platform.


Selain itu, Tencent turut berkongsi program CSR mereka yang menyokong aktiviti Car-Free Days, yang selari dengan program Car-Free Morning di Kuala Lumpur untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan bandar lebih hijau.


Dr. Zaliha merancang untuk meneliti konsep-konsep ini bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, dan Perbadanan Labuan, bagi menyusun pelaksanaan yang sesuai bagi mempercepatkan pencapaian visi Bandar CHASE yang menekankan kelestarian dan kesejahteraan untuk penduduk Wilayah Persekutuan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page