Mangsa banjir Sabah meningkat 1,648 orang, Penampang catat jumlah tertinggi
- nabalunews
- Sep 16
- 1 min read

15 September 2025
KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,648 orang daripada 417 keluarga setakat 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa terjejas adalah melibatkan lima daerah iaitu Penampang, Papar, Membakut, selain Putatan dan Beaufort.
Penampang kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 744 mangsa melibatkan 181 keluarga dari 22 kampung terjejas dipindahkan ke tujuh PPS yang diaktifkan.
Tujuh PPS di daerah itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Kolopis; Dewan Huguan Siou; Kompleks Sukan Penampang; Kg Sarapung; Dewan Ramayah; Dewan Inobong serta Dewan Raya Bukitas.
Bagi daerah Beaufort pula, seramai 231 mangsa melibatkan 68 keluarga ditempatkan di PPK Selagon, manakala Papar mencatat seramai 78 mangsa daripada 19 keluarga yang kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Papar.
Sementara itu, Putatan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pagi tadi mencatat 393 mangsa melibatkan 95 keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu Dewan PPR Sri Keramat dan Dewan Sri Serigai.
Membakut yang turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir hari ini, merekodkan seramai 202 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Bongawan.


















Comments