Mangsa Rawatan Kesihatan Swasta Tidak Berlesen Diminta Tampil Beri Maklumat
- nabalunews
- Jun 14
- 1 min read

14 Jun 2025
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa mana-mana individu yang pernah membeli pakej rawatan daripada pusat kesihatan swasta yang tidak berlesen yang terletak di Bandar Prima, di sini, tampil menyalurkan maklumat.
Menurutnya, mana-mana individi yang merasakan diri mereka tertipu dengan khidmat rawatan kesihatan yang diberikan juga diminta memberikan maklumat lanjut bagi tujuan tindakan susulan.
Katanya, gesaan itu dibuat selepas pihaknya menerima satu aduan semasa sesi khidmat nasihat guaman percuma bulanan yang diadakan di pusat khidmat beliau baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan, seorang penduduk hadir bagi mendapatkan panduan berkaitan langkah undang-undang yang boleh diambil selepas penutupan pusat berkenaan.
“Papan tanda pusat kesihatan swasta berkenaan telah diturunkan baru-baru ini oleh pihak berkuasa dan operasi premis tersebut turut dihentikan serta-merta.
“Difahamkan, pusat ini telah diserbu kerana beroperasi tanpa lesen yang sah dan telah diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mana-mana individu lain yang turut terkesan agar menghubungi talian pusat khidmat Parlimen Sandakan di talian 010-8073313 atau hadir sendiri ke Pejabat Parlimen Sandakan di Bandar Letat Jaya, Batu 3½, bagi menyerahkan maklumat dan dokumen berkaitan.
Katmaya, ia bagi membolehkan beliau dan pasukannya menyusun fail lengkap sebelum membuat rujukan kepada pihak serta agensi berkaitan akan kemungkinan tindakan selanjutnya yang boleh diambil.
“Pusat khidmat Parlimen Sandakan akan terus memantau isu ini dan menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pusat kesihatan swasta yang tidak berlesen,” katanya.
Comments