top of page

Masalah dihadapi pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza, Papar miliki geran dapat perhatian Ahli Parlimen Papar

  • nabalunews
  • Nov 2
  • 2 min read

Armizan bersama pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza, Papar
Armizan bersama pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza, Papar

2 November 2025


PAPAR: Masalah dihadapi pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza, Papar untuk mendapatkan geran milikan individu yang telah berlarutan hampir 20 tahun mendapat perhatian Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.


Armizan berkata, projek Fasa I yang telah lama siap dan digunakan melibatkan 32 unit lot kedai dan Sijil Menduduki (OC) dikeluarkan pada 4 September 2006.

"Sekumpulan pembeli yang merupakan warga Papar telah membuat aduan dan meminta bantuan saya selaku Ahli Parlimen Papar untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan mereka mendapat hak mereka.


Mereka telah membuat pembelian seawal tahun 2004. Daripada 24 pembeli yang tampil memohon bantuan melalui Pejabat Ahli Parlimen Papar, 19 orang telah menyelesaikan sepenuhnya pinjaman bank dan 2 orang pembeli asal telah meninggal dunia.


"Usaha mereka untuk berhubung dengan syarikat pemaju iaitu PMSB Ventures Sdn. Bhd. sejak sekian lama tidak mendapat sebarang respon," katanya pada sidang media di pejabat UPPM DUN Kawang, disini hari ini.


Armizan berkata, dalam perjanjian jual beli di antara pembeli dan pemaju, adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk menguruskan proses pecah bahagian geran dan seterusnya permohonan geran individu untuk setiap pembeli.


"Saya telah meminta pihak pemaju mengadakan perjumpaan bersama saya dan wakil Kumpulan pembeli serta agensi-agensi Kerajaan berkaitan pada hari Isnin lalu, 27 Oktober 2025.


"Namun begitu amat mendukacitakan, tidak ada seorang pun wakil pemaju atau peguam mereka hadir dalam perjumpaan tersebut.


"Sehubungan itu, saya telah meminta peguam firma guaman Tetuan Zainal & Associates untuk mengambil tindakan selanjutnya mewakili 24 pembeli termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang mengikut perjanjian jual beli sekiranya pihak pemaju tidak memberikan sebarang respon dalam tempoh 14 hari," katanya.


Beliau berharap pihak pemaju dan Majlis Daerah Papar selaku pemilik tanah mengambil tindakan segera memaklumkan para pembeli tentang sebarang perkembangan sekali gus menunaikan tanggungjawab untuk memenuhi hak para pembeli sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian jual beli.


Armizan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Kerumitan yang dihadapi oleh kumpulan pembeli Projek Century Plaza, Papar ini adalah antara isu yang sering dihadapi oleh ramai pembeli hartanah kediaman mahupun lot komersial.


Katanya, atas sebab itu, antara komitmen Kerajaan GRS adalah untuk memperkasa perlindungan hak pembeli dalam reformasi undang-undang berkaitan hartanah.


Beliau berkata, kajian dan semakan kerangka perundangan berkaitan telah dimulakan dan reformasi perundangan akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun 2026.


Katanya, antara tindakan yang telah dikenal pasti adalah untuk pindaan kepada Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 atau pemansuhan enakmen ini dan menggubal enakmen berkaitan yang Baharu dan penggubalan undang-undang baharu iaitu Enakmen Pengurusan Bangunan 2025


Katanya, reformasi undang-undang berkaitan hartanah ini adalah bagi memenuhi perkembangan sektor hartanah termasuk Pembangunan strata di Sabah.


"Antara objektif adalah menyelesaikan isu kelewatan pengeluaran hakmilik, mempercepatkan pembentukan perbadanan pengurusan, menangani isu penyelenggaraan bangunan dan mewujudkan pesuruhjaya bangunan (building commissioner).


"Inisiatif menambah baik undang-undang hartanah ini merupakan sebahagian daripada strategi yang telah digariskan di bawah Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi yang terkandung dalam Manifesto GRS dalam Pilihan Raya Umum DU Sabah 2025 yang akan dibentangkan selepas hari penamaan calon kelak," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page