top of page
  • Wartawan Nabalu News

McDonald's dan KKIP jalin kerjasama bina hab pembekalan makanan pertama di Malaysia Timur


19 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: McDonald's Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membina hab pembekalan makanan yang lengkap dan pertama seumpamanya di Malaysia Timur.


Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald's iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan menyediakan roti, ayam dan logistik makanan untuk restoran-restoran McDonald's di Sabah dan Sarawak.


Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, hab ini akan dibina di atas empat ekar tanah di kawasan milik KKIP.


"Selain melancarkan lagi pengurusan bekalan di Malaysia Timur, hab ini mampu mengurangkan kos bekalan dan menjimatkan masa.


"Penyediaan fasiliti yang lengkap di KKIP mampu memantapkan lagi penyampaian para pembekal kami seiring dengan rancangan pertumbuhan McDonald's di Malaysia Timur," beliau berkata demikian dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun semasa majlis menandatangani MoU di sini pada Jumaat.


Beliau juga berkata, hab ini akan menyokong rancangan pertumbuhan McDonald's di Malaysia Timur yang merangkumi pembukaan lima lagi restoran baharu di Sabah.


McDonald’s akan membuka restoran baharu di Bandar Sierra, Tuaran Bypass, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Papar dan Pekan Tuaran.


Pembukaan restoran ini akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan tambahan untuk rakyat Sabah.


Beliau menambah, McDonald's berhasrat untuk membina 650 restoran di seluruh negara menjelang 2030 dengan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan.


Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyambut baik kerjasama antara McDonald's dan KKIP.


Comments


bottom of page