Melalap dijangka terus berkembang pesat, selari dengan komitmen kerajaan negeri: Jamawi
- nabalunews
- Jul 6
- 2 min read

6 Julai 2025
TENOM: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dijangka terus berkembang pesat, selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan agenda pembangunan yang berpaksikan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Datuk Jamawi Jaffar, berkata keutamaan kerajaan negeri yang diterajui parti lokal seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membolehkan suara rakyat dibawa dan dibincangkan secara lebih berkesan bersama Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, pendekatan itu bukan saja memastikan isu-isu pembangunan tempatan diberi keutamaan, tetapi juga mengelakkan kepentingan negeri daripada terpinggir dalam keputusan yang dibuat di peringkat nasional.
"Lebih banyak kesinambungan pembangunan dan juga hala tuju kawasan ini dpt dibangunkan kerana kita masih memerlukan satu Institusi Pengajian Tinggi yang kita cadangkan di kawasan Pertanian lagud seberang kerana sudah timbul minat anak-anak muda dalam bidang kemahiran" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap , Kali Ke -3 , 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Panglima Antanom di sini pada Sabtu.
Persidangan Tahunan parti itu dirasmikan oleh Penolong Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Menurut Jamawi, pihaknya telah mencadangkan kepada pihak pengurusan Pusat Latihan KPD-OISCA Lagud Seberang dinaiktarat kepada Diploma.
Jamawi yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap, turut menjelaskan bahawa SUDC akan terus memainkan peranan strategik sebagai pemacu pembangunan bandar dan luar bandar, khususnya dalam penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan semula kawasan bernilai tinggi seperti pekan Melalap serta penggalakan pelaburan domestik dan luar negara.
Katanya, usaha pembangunan ini bukan hanya bersifat fizikal, tetapi juga akan menyentuh aspek kebajikan rakyat, peningkatan taraf hidup serta akses kepada kemudahan asas yang lebih baik.
Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat memberi sokongan penuh kepada kerajaan agar agenda pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh penduduk kawasan Melalap dan sekitarnya.
Comments