Meneroka potensi tersembunyi di kanyon imbak
- nabalunews
- Sep 3, 2024
- 2 min read

3 September 2024
KOTA KINABALU: Satu eksplorasi dilaksanakan di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA), Tongod, dari 3 hingga 15 September lalu bertujuan meninjau sumber dan hidupan liar Kanyon Imbak untuk meneroka potensi serta perspektif baharu dari sumber kekayaan kepelbagaian biodiversiti semula jadi dan spesies hidupan liar di kawasan berkenaan.
Kanyon Imbak merupakan antara hutan dipterokarpa terakhir yang belum diteroka di Sabah.
Ia terletak di tengah-tengah Borneo dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama bagi Sungai Kinabatangan, sungai terpanjang dan terpenting di Sabah.
Selain peranan hidrologi, Kanyon Imbak yang menghubungkan Lembah Danum dengan Lembangan Maliau juga merupakan koridor penting untuk hidupan liar
Hutan ini menyediakan perlindungan bagi spesies terancam seperti Gajah Pigmi Borneo, orang utan dan Harimau Dahan.
Tambahan pula, ia memainkan peranan yang kritikal dalam pemulihan hutan, bertindak sebagai bank gen yang menyokong pemulihan kawasan yang terdegradasi dan memastikan kelestarian ekosistem Sabah.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata dengan tamatnya Pelan Pengurusan Strategik ICCA pada tahun 2023, adalah kritikal untuk mengumpulkan data terkini mengenai sumber dan kelimpahan hidupan liar.
"Oleh itu, tinjauan ini akan memberikan maklumat terkini tentang kepelbagaian biologi flora, fauna dan spesies haiwan dalam ICCA dan kawasan sekitarnya.
"Maklumat yang diperoleh akan menjadi asas penting untuk merangka pelan baharu yang menyeluruh, memastikan kesinambungan usaha pemeliharaan dan strategi pengurusan komprehensif untuk masa hadapan," katanya.
Selain pengumpulan data untuk Pelan Pengurusan Strategik ICCA, objektif utama tinjauan ini adalah bagi pendokumentasian kepelbagaian dan habitat hidupan liar serta potensi ancaman seperti aktiviti memburu haram, kebakaran hutan dan kesan penggunaan tanah di kawasan sekitar.
Di luar aspek pemeliharaan, tinjauan ini juga akan meneroka potensi pembangunan pelancongan, dan mengenal pasti topik penyelidikan untuk kajian masa hadapan.
Tinjauan ini adalah tinjauan yang kedua, berikutan tinjauan awal yang telah dijalankan pada 2012.
Gulamhaidar berkata lebih daripada 150 orang peserta, termasuk penyelidik terkemuka, pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan, dan staf sokongan menyertai tinjauan ini.
"Kami berhasrat untuk melakukan tinjauan menyeluruh bagi mencapai semua objektif kajian.”
"Sebanyak tujuh lokasi telah dikenal pasti untuk eksplorasi ini, dengan peserta ditempatkan secara strategik untuk memaksimumkan liputan seluas 2 km setiap lokasi," katanya.
Eksplorasi ini diterajui oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah serta disertai Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah, WWF-Malaysia, Sabah Environmental Trust serta Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA.
Apabila eksplorasi berakhir, satu seminar akan diadakan untuk membentangkan segala hasil penemuan tinjauan di lapangan.
Gulamhaidar berkata pihaknya berhasrat untuk menilai data yang diperoleh dengan teliti.
"Pendekatan kolaboratif ini akan menggabungkan pandangan dan kepakaran pelbagai pihak, demi memastikan kepentingan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat terjamin," katanya.
Commentaires