Mesyuarat Ketiga Wanita UPKO Bahagian Kota Belud Rancang Takwim Aktiviti 2025
Oleh: Romie Stanley Deukin
10 November 2024
KOTA BELUD: Persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjadi antara fokus utama mesyuarat kali ketiga Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud pada hari ini, 10 November.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ketua Wanita UPKO Kota Belud, Datin Saniah Tuak.
Mesyuarat ini menyaksikan perbincangan mendalam mengenai beberapa agenda penting yang berasaskan minit mesyuarat terdahulu, termasuk pelaksanaan program Ramah Mesra di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kadamaian.
Datin Saniah menegaskan bahawa tahun 2025 bakal menjadi tahun yang penuh cabaran bagi UPKO Kota Belud, khususnya dengan pelaksanaan sambutan Pesta Kaaamatan peringkat Kebangsaan UPKO yang akan diadakan di Kota Belud.
Selain itu, persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya DUN Sabah turut menjadi antara fokus utama mereka.
Dalam mesyuarat tersebut, takwim aktiviti bagi tahun 2025 turut dirangka.
Antara yang dirancang adalah mesyuarat berkala AJK Wanita UPKO serta pelbagai program untuk memperkasakan komuniti dan menyokong agenda parti.
Selain itu, Program Ramah Mesra di PDM Kadamaian turut menjadi tumpuan, di mana pada tahun ini tujuh daripada sembilan PDM berjaya melaksanakan aktiviti tersebut.
Program ini termasuk aktiviti menyampaikan sumbangan kebajikan melalui inisiatif “Sentuhan Kasih,” yang telah memberi manfaat kepada golongan memerlukan di kawasan tersebut.
Datin Saniah dalam perutusannya berharap agar semua AJK Wanita UPKO akan terus memberi komitmen penuh kepada parti.
Beliau menekankan bahawa dengan semangat kerjasama dan dedikasi yang tinggi, mereka mampu menghadapi tahun 2025 yang penuh cabaran demi memperkukuh kedudukan UPKO di Kota Belud.
Comments