Monsun Timur Laut dijangka bermula Khamis ini hingga Mac depan
- nabalunews
- Nov 10
- 1 min read

10 November 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula Khamis ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata dalam tempoh MTL itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
"Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.
"Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat dan sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web di pautan www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.


















Comments