MPT digesa pantau kontraktor pembersihan longkang
- nabalunews
- Apr 2
- 1 min read

2 April 2025
TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) digesa memantau kontraktor pembersihan longkang di kawasan taman perumahan agar menjalankan tugas mengikut jadual bagi mengelakkan kejadian banjir setiap kali hujan berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong berkata, kegagalan kontraktor dilantik menjalankan tugas dengan baik mengakibatkan kawasan kediaman penduduk dinaiki banjir kerana longkang tersumbat.
"MPT perlu memastikan kontraktor menjalankan tugas mereka mengikut jadual yang ditetapkan agar kawasan kediaman sentiasa bersih dan sistem perparitan berfungsi dengan baik.
"Seperti yang kita lihat ketika musim hujan kebelakangan ini, banjir didapati akan berlaku akibat aliran air longkang tersekat jika kontraktor terus gagal menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang dengan baik.
"Malah, air longkang yang tersekat turut menggalakkan pembiakan nyamuk aedes pembawa penyakit,"katanya selepas meninjau keadaan longkang di kawasan perumahan Taman Tawau Lama, hari ini.
Justin melawat kawasan itu selepas menerima aduan penduduk yang bimbang dengan masalah parit tersumbat akibat kegagalan penyelenggaraan sempurna oleh pihak berwajib.
Dalam lawatannya itu, beliau mendapati longkang di kawasan perumahan tersebut dipenuhi lumpur dan sampah sehingga menyebabkan fungsi saliran terjejas.
Penduduk setempat turut meluahkan harapan agar masalah ini dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan risiko banjir pada musim hujan.
Comentários