top of page

Muhammad Aniq ditemui meninggal dunia

  • nabalunews
  • Apr 24
  • 1 min read



24 April 2025


TAMPARULI: Kanak-kanak autistik berusia lima tahun yang hilang sejak lima hari lalu ditemui meninggal dunia di tebing sungai Lakang, di sini, hari ini.


Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf ditemui pada jam 12.20 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, mangsa ditemui di kedudukan kira-kira 3.5 kilometer dari rumah keluarganya di Kampung Bahagia 2, di sini.


"Selepas empat jam pencarian, mangsa berjaya ditemui di tebing Sungai Lakang oleh pasukan SAR.


"Jarak mayat ditemui kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi rumah mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Susulan penemuan itu, Noraidin berkata operasi SAR yang diaktifkan sejak 20 April lalu ditamatkan jam 1.15 tengah hari.


"Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat.


"Pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terlibat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan JHEAINS Tamparuli.


“Begitu juga dengan sokongan dan bantuan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung yang terbabit dalam operasi SAR selama lima hari," katanya.


Sehubungan itu, Noraidin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan dan memantau pergerakan anak serta ahli keluarga masing-masing.


"Kita doakan supaya kejadian menyedihkan seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya.


Terdahulu, mangsa, Muhammad Aniq Faiz dikatakan dilihat kali terakhir sekitar jam 1.30 tengah hari, pada 20 April lalu, sebelum dilaporkan hilang.


Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page