Naiktaraf jalan Tengkurus-Lahanas, jalan Sayap-Mansulit serlah kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Naiktaraf jalan Tengkurus-Lahanas, jalan Sayap-Mansulit serlah kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian


Ewon ketika melawat penaiktarafan Jalan Tengkurus-Lahanas.

30 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kerja-kerja menaiktaraf dua jalan utama di kawasan Kadamaian, iaitu Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Sayap-Mansulit menyerlahkan kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut akan menjadi “game changer” kepada aktiviti ekonomi di Kadamaian, khususnya di kampung-kampung sepanjang laluan jalan raya tersebut.


“Saya gembira kerana hari ini, projek menaiktaraf kedua-dua jalan ini sedang dilaksanakan, dimulakan semasa saya menjadi Wakil Rakyat Kadamaian dan akan disiapkan semasa saya menjadi Wakil Rakyat di sini.


Ewon mendengar taklimat mengenai penaiktarafan Jalan Tengkurus-Lahanas.

“Ianya sesuai dengan aspirasi rakyat yang didokumentasikan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang telah dilancarkan awal tahun 2020 semasa saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.


“Dengan siapnya projek ini nanti, maka sudah tentu akan memudahkan urusan penduduk dan paling penting menjadi ‘game changer’ kepada kawasan Kadamaian, khususnya kampung-kampung di sepanjang laluan jalan ini yang banyak bergantung kepada aktiviti pertanian dan pelancongan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas di Kg Tengkurus dan Kg Nahaba semasa meninjau kerja-kerja pelaksanaan projek itu, hari ini.


Ewon melihat pelan Jalan Sayap - Mensulit.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian diberikan taklimat oleh jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan juruperunding projek mengenai prestasi semasa projek.


Projek naiktaraf Jalan Tengkurus - Lahanas sejauh 12.4 kilometer tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM61.4 juta, manakala projek naiktaraf Jalan Sayap sejauh 16.8 kilometer melibatkan peruntukan sebanyak RM129 juta.


Sementara itu, Ewon turut menyatakan bahawa proses perolehan bagi projek naiktaraf Jalan Podos-Taginambur dan projek Jambatan Konkrit Koung Ulu juga akan dilaksanakan oleh JKR Sabah.



“Saya juga telah meminta status terkini berkenaan projek naiktaraf Jalan Podos-Taginambur dan jambatan Koung Ulu. Saya dimaklumkan JKR Sabah dalam proses untuk memanggil tender bagi kedua-dua projek ini dan berharap kerja-kerja lapangan akan bermula pada tahun hadapan.


“Sepertimana dihasratkan oleh rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035, saya akan terus memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN Kadamaian untuk membawa masuk lebih banyak peruntukan dan kemudahan ke Kadamaian.


“Ini termasuklah memasukkan beberapa lagi jalan utama lain di Kadamaian seperti Jalan Gaur-Mangkulat-Pinolobuh, Jalan Kebidahan-Lasau dan Jalan Melangkap untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, 2026-2030,” katanya.

Ewon mendengar taklimat mengenai penaiktarafan jalan Sayap-Mensulit daripada jurutera JKR.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page