top of page

Naim Kurniawan dipilih calon BN bagi PRK Kinabatangan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

20 Disember 2025


KOTA KINABALU: Mohd Naim Kurniawan, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.


Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Naim yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO, menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada Jumaat selepas menerima amanah daripada kepimpinan tertinggi parti.


“Terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan amanah sebagai calon BN PRK Parlimen Kinabatangan.


“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi turut membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan,” katanya.


Mohd Naim yang juga anak sulung kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut meluahkan bahawa detik berkenaan pastinya lebih bermakna sekiranya dapat disaksikan oleh bapanya sendiri.


“Alangkah sempurnanya jika momen ini disaksikan oleh bapa saya. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik.


“Takziah dan tahniah ini akan saya pikul bersama, dan akan diperjuangkan dengan sepenuh jiwa, kudrat serta keikhlasan,” ujarnya.


Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.


Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page