top of page

Naratif Blok Borneo Mahu Kawal Malaya Bertujuan Lenyapkan MA63: Pemuda UPKO

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

3 Mac 2026


KOTA KINABALU: Naratif yang mendakwa ‘Blok Borneo’ mahu “mengawal Malaya” disifatkan sebagai satu usaha untuk melenyapkan perjuangan menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Perkara itu amat mengelirukan dan sengaja dimainkan bagi menafikan hak dan tuntutan sah Sabah dan Sarawak.


Ketua Pemuda Nasional UPKO, Felix Joseph Saang, berkata dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas, malah tidak masuk akal jika dinilai berdasarkan fakta sejarah serta asas pembentukan negara Malaysia.


Katanya, tuntutan Sabah dan Sarawak berlandaskan MA63 bukan bertujuan untuk menguasai atau mendominasi mana-mana wilayah lain.


“Ia sebaliknya menuntut pelaksanaan hak yang telah dipersetujui secara sah semasa pembentukan Persekutuan Malaysia.


“Kenyataan segelintir pemimpin dari Malaya yang mempersoalkan tuntutan MA63 mencerminkan sama ada kejahilan terhadap sejarah atau kegagalan memahami asas penubuhan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, keadaan itu hanya akan mengelirukan rakyat serta menjejaskan semangat persekutuan yang dibina atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.


Sehubungan itu, Felix menggesa pemimpin di Semenanjung agar bersikap adil dan bertanggungjawab dalam mengulas isu berkaitan MA63.


Katanya, di sinilah pentingnya penekanan pendidikan terhadap sejarah yang tepat kepada generasi baharu khususnya peranan dan kedudukan Sabah serta Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan.


Sementara itu, Felix menyeru rakyat Sabah dan Sarawak agar bangkit bersatu serta memperkukuh kesepakatan bagi memastikan hak dan kepentingan kedua-dua negeri terus terpelihara dan dilaksanakan sepenuhnya.


“Masanya sudah tiba untuk kita memastikan sebuah Malaysia yang adil dan saksama. Jurang kemajuan dan pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia tidak seharusnya terus melebar.


“Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan menerusi komitmen politik yang jelas dan pelaksanaan MA63 secara konsisten,” katanya.


Felix menegaskan, harus diingatkan, perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak adalah demi keadilan serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya agenda perpecahan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page