Op Tapis: Lima Ditahan, Semua Positif Dadah di Sandakan
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
13 April 2026
SANDAKAN: Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita dalam Op Tapis bersepadu yang berlangsung dari 11 April hingga 12 April 2026, membabitkan tiga lokasi berbeza di daerah ini. Kesemua individu didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine (syabu).
Dalam operasi bermula jam 4 petang Sabtu hingga 2 pagi Ahad itu, pasukan BSJND IPD Sandakan terlebih dahulu menyerbu sebuah rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Batu 3, dan menahan dua lelaki yang memiliki serta didapati positif syabu. Mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Operasi kemudian diteruskan ke Jambatan 4, Kampung Sim-Sim, dengan penahanan seorang lelaki dan seorang perempuan. Hasil ujian air kencing kedua-duanya positif Methamphetamine dan Amphetamine. Suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 (memiliki dadah), manakala kedua-duanya turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (penagihan).

Dalam perkembangan sama, pasukan BSJND turut membantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Sandakan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap seorang lelaki yang ditahan dalam kes jenayah lain. Keputusan ujian mendapati suspek positif syabu, lalu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Kesemua tangkapan kini direman di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman menegaskan bahawa operasi berterusan seperti ini adalah tekad pihaknya untuk membenteras jenayah dadah di daerah Sandakan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.















Comments