top of page

Pantau dan percepat proses dokumentasi kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Tawau

  • nabalunews
  • May 7
  • 2 min read


7 Mei 2025


TAWAU: Kerajaan Negeri diminta memantau dan mempercepatkan proses dokumentasi kerja-kerja naik taraf Lapangan Terbang Tawau (LTT) yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong berkata, projek berkenaan dijadual bermula sebelum 1 Mei lalu, namun sehingga kini ia masih belum dimulakan.


Katanya, kelewatan dan prosedur yang rumit mungkin akan menjejaskan kemampuan projek itu untuk disiapkan dalam tempoh tiga tahun.


“Saya dimaklumkan dalam jawapan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah semasa sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa tender sudah dibuka pada 10 Februari lalu.


“Kini, projek berkenaan berada dalam fasa Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan surat pelantikan dan melantik perunding projek serta dijangka akan dimulakan pada 1 Mei.


“Jika berlaku kelewatan disebabkan oleh pelbagai prosedur, ini bermakna tarikh siap projek naik taraf ini juga akan semakin lewat. Saya percaya ini adalah perkara yang paling tidak diingini oleh rakyat Tawau,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka melawat Tawau akan dapat memberikan perhatian terhadap perkembangan LTT supaya kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan secepat mungkin.


Katanya, projek itu amat penting kepada rakyat Tawau, apatah lagi LTT hanya mempunyai kapasiti 1.5 juta penumpang setahun, tetapi pada tahun 2023 mencapai 1.7 juta.


“Dengan bilangan penumpang yang terus meningkat dan penambahan laluan penerbangan terus yang baharu, ini bermakna projek naik taraf ini tidak boleh ditangguhkan walaupun sedikit,”katanya.


Difahamkan, Kerajaan Persekutuan akan membelanjakan sebanyak RM130 juta untuk projek naik taraf LTT, termasuk menambah keluasan bangunan terminal daripada 15,800 kaki persegi kepada 23,500 kaki persegi.


Ia termasuk menambah kaunter imigresen daripada 12 kepada 20 selain memasang sistem penyaman udara dan menambah tenaga kerja.


Sepanjang tempoh kerja naik taraf, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memperbaiki papan tanda, menugaskan kakitangan untuk membantu pelancong antarabangsa serta melaksanakan langkah sementara lain yang diperlukan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page