top of page

Pasukan Botung Rangkul Kejuaraan Sepak Takraw Terbuka Kadamaian Mukim Lasau Sempena Pesta Kaamatan 2025

  • nabalunews
  • Jul 2, 2025
  • 2 min read

2 Julai 2025


KOTA BELUD – Pasukan Botung berjaya menjuarai Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Kadamaian Mukim Lasau yang diadakan sempena Pesta Kaamatan 2025. Pertandingan tersebut telah berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Jun di gelanggang Sepak Takraw Kampung Gonok, dan dianjurkan oleh Kelab Belia Kampung Gonok Lasau.


Pengerusi penganjur, Hasmirul Julaidi, memaklumkan bahawa kejohanan itu telah disertai oleh sepuluh pasukan yang berentap.


“Penganjuran ini bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Pesta Kaamatan serta memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan belia melalui penglibatan dalam sukan tradisional yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat,” ujarnya.

Pasukan Botung menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan dengan mengetepikan saingan dari beberapa pasukan lain sehingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Mereka menewaskan Pasukan Tampasuk A yang akhirnya berpuas hati di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Podi A manakala Pasukan Tekulung A menamatkan saingan di kedudukan keempat.


Hasmirul turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas sokongan padu beliau terhadap kejohanan tersebut. Sumbangan dana berjumlah RM10,000 telah disampaikan sendiri oleh Ewon semasa majlis perasmian Pesta Kaamatan Kampung Kebidahan Lasau pada 6 Jun yang lalu.


Sokongan tersebut, jelas Hasmirul, sangat penting dalam menjayakan pertandingan ini, yang bukan sahaja melibatkan aspek sukan tetapi juga merangkumi pembangunan sosial komuniti belia di kawasan Lasau dan sekitarnya.


“Dengan sokongan kewangan daripada Ewon, penganjuran pertandingan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya. Ia turut memberi motivasi kepada para peserta serta mengangkat martabat sukan sepak takraw di kawasan luar bandar,” tambah beliau.


Para peserta dan penduduk kampung turut menyambut baik kejohanan ini yang menjadi salah satu acara utama dalam sambutan Pesta Kaamatan di kawasan tersebut. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, ia juga menjadi platform untuk bakat muda diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.


Dengan kejayaan Botung kali ini, mereka bukan sahaja membawa pulang kejuaraan, tetapi juga penghormatan sebagai simbol kekuatan sukan komuniti tempatan yang kian menyerlah dari tahun ke tahun.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page