Pasukan KB Town Terima Sokongan Daripada ADUN Kadamaian Menjelang Kejohanan Negeri
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

24 Mei 2025
KOTA BELUD: Pasukan tarik tali lelaki dan wanita KB Town yang mewakili daerah Kota Belud menerima suntikan semangat apabila menerima sumbangan rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, YB Datuk Ewon Benedick, menjelang penyertaan mereka dalam kejohanan peringkat negeri di Kota Kinabalu pada 24 dan 25 Mei ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pemaju Mukim, Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin kepada wakil pasukan, Joslee Samidah. Bantuan kewangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan kedua-dua pasukan.
Menurut Joslee, sumbangan berkenaan merupakan dorongan penting buat pasukan yang telah menjalani latihan rapi sebagai persediaan menghadapi pertandingan tersebut. Pasukan lelaki akan bersaing di Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, manakala pasukan wanita akan beraksi di perkarangan bangunan Persatuan Kebudayaan KadazanDusun (KDCA), Penampang.
“Bagi pihak pasukan, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan serta sokongan beliau. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan kami, malah menjadi pemangkin semangat untuk beraksi cemerlang,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, penglibatan aktif pemimpin komuniti dalam menyokong pembangunan sukan tradisional seperti tarik tali memberi impak besar terhadap pembangunan belia dan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.
Kejohanan ini dijangka menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh Sabah, dan pasukan Kota Belud kini berada dalam keadaan bersedia untuk mengharumkan nama daerah dengan semangat juang yang tinggi serta sokongan padu daripada seluruh komuniti.
Comments