PDRM-ATM Jalin Kerjasama Latihan Combat Medic Briged Sabah Siri 1/2026
- nabalunews
- Apr 7
- 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
7 April 2026
KOTA KINABALU: Majlis Perasmian Pembukaan Kursus Combat Medic Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2026 telah berlangsung di Dewan Latihan Briged Sabah PGA, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Komander Zon Timur Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Polis (ACP) Andrew Gani Anak Jimmy. Kursus ini merupakan kolaborasi antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Markas 5 Divisyen Kem Lok Kawi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seramai 46 peserta menyertai kursus ini, terdiri daripada 4 pegawai dan 38 anggota Briged Sabah PGA, 2 anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, serta 2 anggota dari Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PULAPOL) Kota Kinabalu. Tenaga pengajar melibatkan 10 jurulatih – 5 dari Briged Sabah PGA dan 5 dari Markas 5 Divisyen ATM.

Dalam ucapannya, ACP Andrew menekankan kepentingan kemahiran perubatan tempur bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan anggota keselamatan menghadapi kecemasan di lapangan. Beliau turut mengingatkan peserta agar memanfaatkan sepenuhnya peluang latihan serta mengutamakan disiplin, keselamatan dan profesionalisme.
Sementara itu, Mejar Dr. Mohd Afham Mohammed Abdul Kadir, Pegawai Pemerintah Bravo Kompeni 1 Batalion Pertama Perubatan, Markas Divisyen Kelima Infantri Kem Lok Kawi, menyatakan bahawa kursus ini bukan sahaja memberi pengetahuan asas rawatan kecemasan, malah membentuk keupayaan bertindak pantas, tepat dan berkesan dalam situasi berisiko tinggi.
Menurut beliau, setiap minit amat berharga dalam menyelamatkan nyawa, justeru anggota perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal. Beliau menambah, kerjasama erat antara PGA PDRM dan ATM melalui latihan sebegini mampu memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan bersama serta meningkatkan interoperabiliti antara agensi keselamatan.

Kursus Combat Medic ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan intensif dalam aspek rawatan kecemasan di medan operasi, termasuk pengendalian kecederaan trauma, bantuan pernafasan, serta teknik menyelamat nyawa sebelum pesakit menerima rawatan lanjut di fasiliti perubatan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Superintenden Nasrol Sain Hamzah (Ajutan Briged Sabah PGA).















Comments