top of page

Pemandu maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Apas - Balung

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Perodua Bezza rosak teruk dalam kemalangan itu.
Perodua Bezza rosak teruk dalam kemalangan itu.

23 Oktober 2025


TAWAU: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Apas - Balung, berhampiran Kampung Sungai Burung, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata polis menerima maklumat kejadian itu sekitar jam 12.20 tengah hari, melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit mentah.


"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 11.45 pagi apabila lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Merotai menuju ke Kunak.


"Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, impak perlanggaran itu menyebabkan lori terbabas ke pembahagi jalan dan terbalik di tengah laluan menghala ke bandar Tawau, manakala kereta Perodua Bezza masuk semula ke laluan asal.


Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.


Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.


Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi had laju dan berhati-hati ketika memandu di jalan raya.


Menurutnya, pemanduan melebihi had laju boleh menyebabkan hilang kawalan kenderaan dan meningkatkan risiko kemalangan maut.


Beliau turut menyeru saksi bebas atau orang awam yang mempunyai maklumat atau rakaman dashcam berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page