Pembangunan ekonomi, sosial dan budaya jadi visi calon UPKO Kuamut
- nabalunews
- 25 minutes ago
- 2 min read

20 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Mohina Sidom, meletakkan visi untuk memacu pembangunan menyeluruh di kawasan itu merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kebudayaan.
Beliau berkata, aspirasi pembangunan itu bertujuan membebaskan penduduk Kuamut daripada belenggu kemiskinan serta membentuk komuniti yang makmur, sejahtera dan inklusif tanpa ada golongan tercicir daripada menerima manfaat pembangunan.
Justeru bagi mencapai visi tersebut, Mohina bertekad untuk memperkasakan taraf ekonomi penduduk termasuk mewujudkan peluang ekonomi antaranya melalui pertanian, pelancongan, industri kraftangan dan sektor keusahawanan lain.

Belia juga mahu memastikan setiap kanak-kanak di DUN Kuamut mendapat akses kepada pendidikan selain memberi sokongan berterusan kepada sekolah, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkualiti.
Usaha itu juga, katanya termasuk penaiktarafan sekolah dan tabika kemas yang daif di kawasan itu.
“Dalam masa sama, sokongan akan diberikan kepada belia dalam bentuk kursus kemahiran, insentif dan sumbangan kepada aktiviti sukan atau program lain bagi melahirkan golongan belia yang berinovatif serta berwawasan, yang bakal membangunkan DUN Kuamut,” katanya.
“Saya juga bertekad meningkatkan kualiti serta taraf hidup penduduk dengan menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih di seluruh kawasan ini,” katanya.
Selain itu, Mohina juga mahu memastikan setiap penduduk menerima akses kemudahan kesihatan menerusi pembinaan baharu dan penaiktarafan klinik kesihatan di Kuamut serta mewujudkan program kesihatan berimpak tinggi.
Dalam aspek prasarana pula, tumpuan di berikan untuk membina atau menaik taraf prasana sedia ada termasuk jaringan perhubungan yang bukan sahaja akan memudahkan aktiviti ekonomi, malah turut membangunkan ekonomi baharu dan memperbaiki aspek sosial penduduk.
Pemerkasaan wanita juga menjadi keutamaan beliau iaitu dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam peringkat kepimpinan serta memastikan hak dan nasib wanita terbela.
“Saya mahu memastikan kebajikan setiap penduduk terjaga tanpa ada kumpulan tercicir termasuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya,” katanya.
“Selain itu, saya juga bertekad untuk mengutamakan dan memudahan pemilikan tanah kepada orang asal dan anak negeri di Kuamut,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru pengundi membuat keputusan bijak dengan memilih pemimpin yang konsisten bekerja untuk rakyat serta diyakini mampu membawa kemajuan kepada kawasan itu.
“Bersama-sama kita wujudkan masa depan yang lebih cerah dengan visi yang jelas dan misi yang teguh,” katanya.


















Comments